Banner ceramah Ustaz Kazim Elias di hadapan Masjid Piasau |
Hari Sabtu, 15 November baru-baru ini, Ustaz Kazim Elias datang melawat Miri untuk menyampaikan sebuah ceramah bertajuk "Keluarga Bahagia" di Masjid At-Taqwa Miri berhampiran Miri City Fan pada waktu 8 malam. Jalan masuk ke masjid amat sesak disebabkan oleh bilangan kereta yang meletakkan kenderaan mereka di bahu jalan dan juga beberapa bas yang membawa penumpang serta anak-anak yatim datang untuk ceramah tersebut.
Jemaah yang hadir pada malam yang mulia itu sungguh ramai dan sesak |
Kawasan tempat letak kereta berhampiran masjid tersebut memang tidak boleh dinafikan lagi - PENUH! Maka, sewajarnya sesiapa yang ingin mendengar nasihat Ustaz Kazim terpaksa meletakkan kenderaan mereka jauh ke kawasan Pustaka Miri atau Miri Public Pool. Sebaik sahaja tiba di perkarangan masjid, ramai sungguh jemaah yang hadir (mungkin kalah solat Jumaat) pada malam itu. Untuk duduk di dalam agak sukar kerana telah penuh. Ramai juga yang terpaksa berdiri ataupun duduk di luar masjid untuk mendengar ceramah.
Bilangan jemaah yang ramai sehingga ke jendela masjid... |
... malah sehingga ke luar masjid |
Namun sepertimana majlis-majlis ilmu yang lain, ia amat berbaloi untuk dihadiri meskipun kesukaran dan kesulitan yang perlu dilalui. Dalam ceramah yang Ustaz Kazim Elias sampaikan mengambil berat mengenai hak-hak antara suami isteri yang perlu dijaga dan dititikberatkan demi mencapai kebahagiaan dalam keluarga. Terdapat beberapa isi penting dalam ceramah beliau:
- Memuliakan tetamu.
- Menjaga kesihatan tubuh badan.
- Menjaga hak isteri.
Pengajaran daripada perbincangan utama adalah kita tidak sepatutnya terlampau menumpukan perhatian dalam melaksanakan ibadah tanpa mengambil kira hubungan kita sesama manusia malah terhadap diri sendiri juga. Di samping penceritaan utama tersebut, beliau juga mempunyai isu-isu sampingan yang dibincangkan untuk kepentingan umum termasuk:
- Kempen "Touch a dog".
- Golongan transgender.
- Kepentingan menjaga solat berjemaah terutamanya pada waktu subuh.
- Hikmah bersedekah.
Suasana sepanjang ceramah beliau tidaklah berat dan serius, malah amat ringkas dan lucu namun setiap patah perkataan beliau mempunyai makna yang amat penting untuk diambil sebagai peringatan dan nasihat. Kami tidak rasa bosan dan letih, sebaliknya amat tertarik dan teruja dengan gaya penyampaian beliau sungguh bersahaja dan mudah penjelasannya. Tambahan pula, penulis berpendapat Ustaz Kazim Elias amat menyukai masakan di Sarawak terutamanya mi kolok kerana beliau telah menyebutnya kira-kira 3 hingga 4 kali. Beliau sepatutnya juga cuba laksa Sarawak, konfem kaw-kaw punya!
Penulis berharap agar ramai ustaz yang terkemuka datang ke Miri, mahupun seluruh Sarawak untuk memberi lebih banyak ceramah serta peringatan agar kami lebih memahami hukum-hukum agama.
No comments:
Post a Comment